Maklumat Umum

'SIAPA' & 'MENGAPA'
DALAM PENGAJARAN PEMULIHAN

Keluhan mengenai pencapaian rendah setengah murid kita dalam bahasa memang sering dilahirkan oleh para pendidik dan ibu bapa. Mereka bimbang kerana memang terdapat sebilangan murid sekolah rendah yang tidak dapat membaca dan memahami soalan-soalan dalam peperiksaan. Malahan ada sesetengah murid sekolah menengah yang sama buruk kebolehan bahasanya. Tidak dapat dinafikan bahawa antara murid-murid tersebut di atas terdapat mereka yang memang tidak boleh bercakap dan menulis disebabkan kerencatan mental atau kecacatan fizikal. Tetapi mereka ini hanya terdiri dari bilangan yang amat kecil dan yang lain yang merupakan majoriti besar adalah kanak-kanak normal yang tiada sebarang kerencatan mental atau kecacatan fizikal. 

Mereka ini kerapkali dinamakan murid lembam yang didefinisikan oleh Brennan (1974) sebagai 'murid-murid yang gagal menghadapi kerja normal sekolah untuk kumpulan sebaya mereka tetapi kegagalan mereka tidak dapat dianggap sebagai disebabkan oleh kecacatan...' Mereka ini kadangkala juga diberi label pencapai rendah yang membawa erti bahawa murid-murid ini memperlihat taraf pencapaian yang tidak memuaskan berbanding dengan taraf pencapaian purata rakan-rakan sebayanya atau taraf pencapaian yang diharapkan bagi murid-murid pada peringkat persekolahan itu.

Tetapi penakrifan di atas adalah tidak mencukupi dan mestilah dilengkapi dengan keterangan tentang beberapa ciri yang lazim dapat diperhatikan pada murid lembam ini. Seringkali ciri-ciri ini sedikit banyak berhubung dengan persekitaran rumah dan bidang bahasa, misalnya Bahasa Malaysia, mereka sentiasa mengalami kesulitan pembelajaran kerana kemiskinan perbendaharaan kata yang kemungkinan besar disebabkan diskriminasi penglihatan dan pendengarannya yang kurang memuaskan. Akibat dari berbagai kesulitan pembelajaran yang dialaminya, murid lembam ini selalu gagal dalam ujian, dan ini seterusnya menyebabkannya mempunyai keyakinan diri dan konsep diri  yang rendah. Kita tidak berasa hairan apabila kita dapati murid lembam ini kurang aktif dan kurang minat untuk menyertai kegiatan pelajaran dalam bilik darjah.

Aktiviti-aktiviti khas perlu dirancangkan dan dijalankan untuk menolong murid-murid lembam yang mengatasi kesulitan pembelajaran agar dapat meningkatkan pencapai mereka ke taraf normal. Dengan kata-kata lain pengajaran pemulihan adalah bertujuan untuk memulihkan masalah pembelajaran murid lembam supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam perlakuan sesuatu matapelajaran dan dapat mengejar rakan sebaya mereka. Jadi dua prinsip asas pengajaran pemulihan ialah :

(1) bahawa murid-murid lembam boleh mencapai perlakuan normal jika diberi pertolongan yang sesuai 

(2) bahawa pengajaran pemulihan dapat mencegah kesan buruk yang mungkin dibawa oleh kegagalan pembelajaran.

Prinsip-prinsip di atas adalah berkait rapat dengan soalan mengapa dalam pengajaran pemulihan. Apakah pentingnya tindakan pemulihan diambil dalam bidang bahasa?Kebolehan berkomunikasi dan belajar melalui bahasa adalah satu ciri unik manusia yang hidup bermasyarakat. Oleh yang demikian, perkembangan bahasa seorang kanak-kanak akan secara langsung mempengaruhi pertumbuhan intelektual dan seterusnya menentukan kejayaan.
Creber (1974) telah menekankan perhubungan erat antara kegagalan pendidikan murid sekolah khususnya kanak-kanak kurang beruntung dengan ketidaklengkapan bahasa mereka. Beliau telah menggambarkan kesan-kesan atas pendidikan mereka akibat dari kekurangan bahasa seperti kemiskinan perbendaharaan kata.Pendapat ini disokong oleh Gulliford (1972) yang menegaskan pertalian rapat antara perkembangan bahasa seorang murid dengan pertumbuhan pemikirannya kerana bahasa merupakan alat pendidikan yang terpenting sekali dan inilah sebab utama kita mestilah berusaha sedaya upaya untuk memulihkan ketidaklengkapan bahasa murid-murid lembam. Tambahnya lagi, kerencatan dalam bahasa dan kesulitan menguasainya merupakan satu punca kegagalan pembelajaran murid-murid.Dilihat dari perspektif yang lebih luas dan jangka masa yang lebih panjang, pengajaran pemulihan dalam bidang bahasa mempunyai matlamat: untuk mencegah pembaziran dalam pendidikan memandangkan berapa rapatnya perhubungan kegagalan dalam bahasa dengan kegagalan dalam pendidikan seorang murid. Sekiranya kita membiarkan saja seorang murid Darjah Tiga dengan ketakbolehannya untuk membaca atau menulis perkataan-perkataan mudah seperti 'buku', 'berjalan', 'besar' dan sebagainya, ketidaklengkapan bahasanya akan meruncing dari setahun ke setahun, dan membawa kepada kegagalannya dalam Peperiksaan Sijil Sekolah Rendah dan seterusnya tercicir dari sekolah. Ini. merupakan satu kerugian. kepada negara kerana potensi-potensinya telah tidak dikembangkan dan sebaliknya telah terbenam disebabkan bantuan tidak diberi untuk menolongnya mengatasi. kesulitan pembelajaran dalam bidang bahasa.

Kita sampai satu prinsip lagi dalam pengajaran pemulihan iaitu ianya mestilah dijalankan seawal mungkin dan secara berterusan. Ini bermakna eloklah masalah pembelajaran murid dikesan dan ditentukan dengan awal-awal dan tindakan pemulihan yang munasabah dijalankan dengan segera. Memang para pendidik telah menegaskan peri pentingnya pemulihan dimulakan pada peringkat awal sekolah rendah, malahan pada peringkat pra-sekolah, tetapi ini tidak bermakna bahawa pemulihan pada peringkat sekolah menengah adalah tidak berguna langsung. Sebenarnya tindakan pemulihan mestilah diambil bila saja ditentukan ada murid yang memerlukannya tidak kira pada mana peringkat persekolahan. Pengajaran pemulihan dalam bidang bahasa patutlah dianggap sebagai sebahagian dari tanggungjawab seorang guru bahasa, dan setiap guru bahasa mestilah melengkapkan diri dengan kecekapan yang perlu untuk menjalankan tugas penting ini.


CIRI—CIRI MURID PEMULIHAN KHAS
 a)   Emosi dan tingkah laku
· Perasaan risau dan rendah diri
· Perasaan sedih atau hiba atau duka
· Perasaan cepat bosan atau jemu terhadap pelajaran
· Perasaan takut akan perkara-perkara baru
· Degil, tidak patuh kepada peraturan-peraturan dan suka melawan

b) Sosial
·  Gelisah dan selalu bergerak di dalam darjah serta mengganggu kawan-kawan.
· Murid-murid lain benci kepadanya
· Banyak perangai ganjil seperti menghisap atau mengigit jari
· Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan
· Berbohong dan kadang-kadang mencuri

c) Kesediaan belajar.
· Belum bersedia untuk belajar
· Perbendaharaan kata kurang
· Lemah Pemahaman
· Kurang percaya terhadap diri sendiri

d)   Kesihatan
 · Lemah lembut badan serta kurang zat makanan
· Pertumbuhan tubuh badan tidak seimbang
· Tumpuan perhatian terhad
· Lemah gerak motor kasar dan halus
· Kesihatan terganggu seperti selalu sakit terlalu lama dan teruk

e) Pengamatan
· Tidak boleh kenal bentuk atau perbezaan turutan
· Lemah pendengaran bunyi
· Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah
· Lambat mengkelaskan benda/ nombor
· Kesukaran mengkaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru
· Tidak dapat menyelesaikan masalah
· Sukar ambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang
· Sukar buat kenyataan am
· Tidak dapat membuat kerja-kerja kreatif
· Lemah pergerakan dan perbuatan
· Lemah daya pemikiran
· Tidak boleh mengingati kembali

KONSEP
Dalam proses Pendidikan , Pendidikan Pemulihan Khas ialah :
“ Satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai asas menjadi Fokus Kurikulum Baru Sekolah Rendah” .

MATLAMAT

Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dapat dikuasai dalam tempuh masa yang ditetapkan.

TAKRIFAN

AE Tanseley dan R. Culliford
“ kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa, ”

M. F . Clough

“ kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. ”

Sharifah Rahman Ali

“ kanak-kanak yang gagal menerima pelajaran dan mereka ini berkemampuan mempunyai kecerdasan yang tinggi , yang sederhana dan di bawah paras sederhana . Kita tidak masukkan kategori kanak-kanak yang lemah (mentally retarded).”

” Kanak-kanak Pemulihan Khas adalah kanak-kanak yang tidak dapat menguasai kemahiran asas 3M pada masa yang sepatutnya.”